Sabtu, 22 Ogos 2009

Pameran Sejarah






Alhamdulilah saya dan rakan-rakan guru sejarah telah berjaya menganjurkan pameran sejarah. Saya telah berbincang dengan En Saadek, GKB Sains Kemasyarakatan untuk meneruskan pameran ini sebaik sahaja naik cuti seminggu ini. Pada pagi Jumaat, semasa majlis bacaan Yassin, tuan pengetuan Tn Hj Mohd Zaini Abdul Fatah telah mengucapkan tahniah atas pameran tersebut dan beliau bersetuju untuk mengeluarkan kos bagi membiayai kerja-kerja berkaitan dokumentasi bahan-bahan pameran tersebut. Beliau mencadangkan agar bahan-bahan bersesuaian di 'refotokan' untuk simpanan sekolah.

Selamat Berpuasa

Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamt berpuasa kepada semua umat islam. Semoga kehadiran Ramadhan ini membawa makna yang sangat memberi kesan positif kepada kita semua. Semoga ditingkatkan amalan dan ketakwaan kepada kita semua. Saya dan keluarga menyambut puasa di kuantan pahang, di rumah ibu bapa mertua saya.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Teknik Menjawab Sejarah SPM-SMK Parit Betak, Pontian


Sebaik sahaja tamat memberi ceramah di SMK Ayer Baloi, saya terus bergegas untuk bergerak ke SMK Parit Betak, Pontian. Iaitu bagi melaksanakan tujuan yang sama. Namun undangan ini adalah di bawah kendalian dan pengurusan pihak PPD Pontian di bawah Program Kasih. Di sekolah ini 100% pelajarnya adalah dari kaum melayu. Pengetuanya Pn Hajah Saidah Sariyan adalah bekas guru saya semasa belajar di tingkatan 6 dahulu. Beliau juga sebelum dilantik menjawat jawatan pengetua di sekolah ini, juga merupakan GPK 1 di sekolah saya sekarang. Apabila beliau berpindah, saya mengambilalih jawatan GPK 1 mulai 1 April 2009. Ditakdirkan rezeki saya di GC, maka saya melepaskan jawatan GPK 1 ini.

Teknik Menjawab Sejarah SPM-SMK Ayer Baloi, Pontian


Pada khamis semalam 20 Ogos, jam 8.00 - 10.00 pagi saya telah memenuhi undangan pihak SMK Ayer Baloi bagi menyampaikan ceramah teknik menjawab sejarah SPM. Rasa seronok sekali dapat kembali memberi sumbangan kepada sekolah yang penuh bermakna kepada saya ini. Di sekolah inilah saya menimba ilmu dari tingkatan 1- 5 pada tahun 1981-1985. Di sekolah inilah juga saya pernah bertugas dari tahun 2000 - 2007. Di sekolah ini jugalah saya bertugas sebagai GPK HEM dari 1 April 2001 - 15 Julai 2007. Seronok dapat berjumpa teman-teman lama. Di sini saya sertakan foto bersama rakan-rakan.

Rabu, 19 Ogos 2009

Ceramah Teknik Menjawab SPM - Maahad Pontian



Petang tadi jam 2.30-4.30 petang saya telah berkongsi ilmu dengan rakan guru dan para pelajar Maahad Pontian. Iaitu sebuah sekolah aliran agama di bawah kendalian Jabatan Pelajaran Agama Negeri Johor. Seramai 73 orang calon sekolah tersebut yang akan menduduki peperiksaan SPM. Semoga mereka berjaya memperolehi kejayaan.

Persiapan Pameran Bergambar Daerah Pontian dan Dokumen-Dokumen Sejarah



Hari ini saya bersama rakan sahabat Mohd Saadek Mahadi GK Bidang Sains Kemasyarakatan telah bbersama-sama membuat persiapan untuk mengadakan pameran sejarah. Pameran dirancangkan akan di adakan di Bilik Sejarah. Pengisian pameran ini adalah gambar-gambar sejarah daerah Pontian dan kajian dokumen-dokumen sejarah.

Ahad, 16 Ogos 2009

Ceramah Teknik Menjawab SMK Dato Onn Batu Pahat



Pagi tadi jam 10.30 - 12.30 saya telah berjaya memenuhi undangan pihak SMK Dato Onn, Batu Pahat, Johor untuk memberikan sedikit tip dan panduan kepada pelajar-pelajar sejarah 2 STPM. Seperti biasa, ianya satu kepuasan dan kebanggan kepada saya jika dapat memenuhi hajat dan harapan rakan-rakan guru dan juga anak didik pelajar. Semoga semua pelajar berkenaan beroleh kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan sebenar nanti.

Desak Warta Pulau Pisang


Pada Jumaat 14 ogos yang lalu, Harian Metro telah melaporkan berita berkaitan program yang saya sertai di Pulau Pisang pada 9 Ogos yang lalu. Berita dilaporkan oleh sahabat Ahmad Bahri Mardi, seorang guru, wartawan dan ahli PSM Negeri Johor. Di sini saya sertakan salinan scan laporan akhbar berkenaan.

Khamis, 13 Ogos 2009

Majlis Solat hajat Perdana SK Benut


Sebentar tadi saya telah menghadiri majlis Solat Hajat Perdana SK Benut. Majlis telah diadakan di surat asrama desa sekolah tersebut. Kehadiran saya adalah atas tanggungjawab sebagai penjaga kepada anak saudara saya Aiman Hakim Bin Muhamad, pelajar tahun 6. Buat pengetahuan semua, saya mengambil tanggungjawab menjaga 3 orang anak sedara saya yang telah menjadi yatim piatu sejak 6 tahun yang lalu. Aiman dan 2 orang lagi kakaknya. Nor Syakiran bersekolah di tingkatan 6 rendah di SMK Benut dan Noe Syahidah tingkatan 3 di sekolah yang sama. Ibu mereka adalah kakak kepada saya. Meninggal dunia pada bulan nov 2004, sementara bapa mereka meninggal dunia pada bulan september 2005. Semoga saya, isteri dan ahli keluarga diberi kekuatan oleh Allah untuk memikul amanah dan tanggungjawab ini.

Program Kasih



pagi tadi jam 11.00 pagi - 12.5o tengahari saya telah menjayakan Program Kasih yang telah disusun oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah Pontian. Melalui program ini, GC dan JU daerah Pontian telah ditugaskan bagi membantu sekolah-sekolah yang memerlukan bagi meningkatkan pencapaian bagi mata pelajaran yang tertuntu. Untuk tujuan tersebut, saya telah ditugaskan bagi memberi cermah kepada pelajar-pelajar SMK Dato Mohamad Yunus Sulaiman, Pekan Nenas, Pontian. Slot saya tadi telah saya bahagikan kepada 2 bahagian. Bahagian pertama adalah berkenalan kepada mata pelajaran sejarah. Apakah itu sejarah?, apakah tujuan kita belajar sejarah. Slot kedua pula adalah teknik menjawab sejarah PMR. Semoga ada nilai tambah yang dapat saya berikan kepada pelajar-pelajar tersebut.

Rabu, 12 Ogos 2009

Kursus Induksi - Hotel landmark B. Pahat




Petang tadi saya telah bertugas sebagai penceramah bagi Kursus Induksi Kump 1 JPNJ yang di adakan di Hotel Landmark Batu Pahat. Slot saya selama 2 jam bermula jam 2.00 - 4.30 petang. Setengah jam yang pertama adalah slot pengucapan awam. Buat makluman semua telah 10 tahun saya bertugas sebagai penceramah kursus induksi JPNJ. 7 tahun pertama saya memberikan ceramah bagi tajuk Sejarah Masyarakat Malaysia. bagi 3 tahun terakhir ini pula saya memberikan tajuk Dasar-Dasar Kerajaan.

Kunjungan Rakan GC

semalam selepas rehat sekolah kami telah dikunjungi oleh seorang rakan GC Sharifah Ain dari SMK Dato Penggawa Barat. Tujuan kedatangan beliau adalah untuk sama-sama berkongsi ilmu dan kepakaran beliau bersama kami. Sebahagian besar guru-guru sejarah telah dapat berkumpul dan mengadakan perbincangan dengan beliau. Banyak hasil yang diperolehi dari perbincangan kami. Kami telah mencapai persetujuan untuk mengadakan Kem Kecemerlangan Sejarah gabungan di antara sekolah kami SDAHA, Sek Men Keb Dato Penggawa. Saya juga mencadagkan agar kami dapat mempelelawa sekolah Agama Arab Pontian sebagai rakan perkongsian pintar. Semoga apa yang kami bincang dan hajatkan akan dimakbulkan oleh Allah.

Isnin, 10 Ogos 2009

Lagi Gambar Kembara P.Pisang




Kembara Seni dan Warisan Sejarah Pulau Pisang 2009






Pada Ahad 9 Ogos, saya telah mengikuti program Kembara ke P.Pisang. Program ini adalah anjuran bersama Pjbt Ahli Parlimen Pontian, Persatuan Penulis Johor, DEB Wilayah Selatan dan Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Pontian. Saya adalah Penolong Setiausaha PSM Kaw Pontian.

Sabtu, 8 Ogos 2009

Perlawanan Badminton Persahabatan

.


Malam semalam saya menyertai perlawanan badminton persahabatan di antara team kami KGB ( Kelab Badminton Guru Benut ) melawan Pasukan Sri Perdana Pekan Nenas. Perlawanan di adakan di Dewan Badminton Yap Brothers di Pekan Nenas Pontian. Perlawanan ini adalah perlawanan kunjung balas setelah perlawanan pertama di adakan di Benut pada jumaat 31 Julai yang lepas. Sekadar perlawanan persahabatan, suka-suka, saling berkenalan dan beriadah. Sebanyak 10 perlawanan telah dijalankan. Kami menang 1 regu dan seri 2 regu. Seperti biasa saya dan Cikgu Zakaria turun sebagai regu pertama dan mencatat keputusan seriBaki perlawanan yang lain, kami bagi dia org menang ajalah.... heeee.

Jumaat, 7 Ogos 2009

Rakan Sahabat Siti Hadijah Sunok

Tadi pagi rakan sahabat di sekolah Pn Hjh Siti Hadijah Sunok telah menumpang kereta kancil saya untuk ke sekolah. Inilah pertama kali beliau menumpang kereta saya, kebetulan kami jalan yang sama untuk ke sekolah. Saya memanggil beliau dengan panggilan Kak Jah. Beliau Guru Kanan Bidang Bahasa di sekolah kami. Suaminya Tn Hj Abdullah Din, pernah mengajar bersama saya di SMK Benut pada tahun 90an yang lalu. Kak Jah adalah seorang guru yang amat disenangi oleh semua pihak, perawakan beliau yang bersahaja, mudah mesra dan kelakar memudahkan semua pihak mendampingi beliau. Sekitar 2 bulan yang lepas, beliau telah mengalami masalah penglihatan. Dikhabarkan ada ketumbuhan di mata beliau. Operasi pembedahan telah dilakukan dengan jayanya. Malangnya pula, mata sebelahnya lagi pula yang kini mengalami masalah penglihatan. Oleh itu beliau hanya melihat dengan menggunakan penglihatan sebelah mata sahaja. Sebelum ini beliau gagahkan juga untuk memandu, namun keadaan menjadi semakin sukar, katanya. Bagi saya, tiada masalah jika beliau ingin terus menumpang kereta saya. Kereta kancil, kemik pulak kena langgar tapi yang penting ia terus mampu bergerak membawa saya ke distinasi yang diingini. Syukur kepada Allah atas limpah rahmatnya.

Khamis, 6 Ogos 2009

Curriculum Vitae

Dalam satu dua minggu ini ramai rakan-rakan guru yang meminta salinan format berkaitan Curriculum Vitae daripada saya. Format CV ini telah pernah saya bentangkan untuk makluman semua guru semasa program Latihan Dalam Perkhidmatan yang dianjurkan oleh pihak sekolah pada bulan lepas. Ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk semua guru dapat sentiasa mengemaskinikan segala laporan, butiran dan maklumat yang berkaitan dengan sejarah perkhidmatan masing-masing. Insyallah apabila saya semakin cekap berkenalan dengan pengurusan blog ini, saya akan masukkanCV saya untuk perkongsian semua. Format CV ini sebenarnya telah diberikan oleh guru saya iaitu Cikgu Zakarian Md Noor. Ketika itu seorang Guru Cemerlang di SMK Ayer Baloi, Pontian Johor. Beliau mencadangkan kepada saya agar saya melengkapkan segala butiran-butiran perkhidmatan. Sejak tahun 2000 itu, saya terus mengemaskini segala butiran perkhidmatan saya hinggalah kehari ini. Terima kasih cikgu. Saya panjang-panjangkan ilmu yang cikgu berikan. Baru ini juga rakan sejarah STPM dari Kuala kangsar, saudara Lufti juga telah meminta agar saya mengemailkan format CV kepadanya. Semoga kita warga guru lebih mengetahui tentang perkhidmatan kita dan tidak hanya bergantung kepada kerani di pejabat sekolah. Saya juga doakan permohonan para sahabat untuk menjawat Guru Cemerlang di permudahkan oleh Allah hendaknya.

Selasa, 4 Ogos 2009

Pelajar Ponteng Kelas

lupa pulak saya nak bercerita, tadi semasa kelas sejarah tingkatan 4S2, 4 org pelajar telah ponteng. oleh kerana kelas dibuat di makmal Komputer, saya tidak perasan ada pelajar yang 'miss'. dpt call dari cikgu Zool, ada pelajar saya yang ponteng, so saya pun terus membuat semakan, sah ada 4 orang!. jadi saya mengarahkan ketua kelas, Anas untuk mencari pelajar ini. akhirnya 4 orang pelajar ini berjaya dihadapkan kepada saya masih lagi berada di makmal komputer. nak marah, budak dah besar, nak rotan tak boleh, jadi apa nak buat? beleter la sikit...

' saya tak kisah awak tak minat subjek saya, sejarah. saya tak kecik hati.
Mustahil awak ambil 10 mata pelajaran kesemuanya awak harus minat.
Tetapi awak mesti belajar bersungguh-sungguh. Mesti jawab bersungguh-
sungguh semasa peperiksaan. Itu sahaja permintaan saya'

akhirnya 4 orang pelajar ini saya arahkan masuk ke kesemua (14 kelas ) tingkatan 4 dan membacakan ikral yang berbunyi,

' saya mengaku bersalah ponteng kelas sejarah dengan bermain bola keranjang.
Saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi'

saya turut meminta keempat orang pelajar ini memberikan memo saya kepada setiap guru yang mengajar di tingkatan 4. Iaitu guru yang mengajar di kelas berkenaan semasa ikral itu dibacakan. Memintak kerjasama guru berkenaan mengendalikan bacaan ikral serta menulis nama dan menandatangani lampiran yang saya sertakan.
saya mengharapkan hukuman ini dapat memberi kesedaran kepada semua pihak yang terbabit. Baik pelajar berkenaan mahupun pelajar lain yang menyaksikannya.

saya baru sahaja balik dari membuang sampah di tanjung, benut. memang rutin harian membuang sampah di tong sampah majlis daerah pontian, berhampiran dgn pasar ikan benut. mula asalnya cadang nak buang sama seekor anak kucing. hentah dari mana datangnya anak kucing ini, tup2 dlm seminggu ni ada pulak org buang anak kucing. anak saya yang ke tinga, Muhammad Irfan Haikal sangatla sayangkan anak kucing itu. ahad baru ni 2hb. kami sekeluarga ke Batu Pahat. membeli makanan kucing sambil berjalan2 ke pasar raya besar. so bila kenangkan ifan sayang sangat kat anak kucing tu, rasa tak sampai hati pulak nak buang..... tp saya tak suka kucing. geli geleman bila dia main mengesel2 di kaki... tengoklah mcamana nanti nasib anak kucing tu... tp,... syg binatang pun baguskan. kata arwah mak saya dulu, kucing akan doakan kesejahteraan kita sekeluarga jika kita membela mereka dengan baik n kasih sayang...
salam, saya masih belum lagi ada kesempatan utk perbaiki blog saya ini. pertama saya tak ada pengetahuan. dah berberapa kali membuat temu janji dengan rakan di SMK Ayer baloi, cikgu Zulkurnain utk membantu mengajar saya perhal blog membelog ni tapi ada sahaja halangannya. insyallah ada kesempatan saya akan jumpa beliau
rasanya ada byk bahan yg nak dimasukkan ke dalam blog utk dikongsi bersama, tak apalah nanti bila dah pandai sy masukkan.